Bina Puri beri kontrak RM958j
Date: 05 June 2008

KUALA LUMPUR 5 Jun - Bina Puri Holdings Bhd. (Bina Puri) telah menganugerahkan kontrak bernilai RM958 juta kepada Mudajaya Corporation Bhd. (MJC), anak syarikat Mudajaya Group Bhd.

Bina Puri dalam satu kenyataannya di sini berkata, kontrak tersebut melibatkan Pakej 1 dan 2 Cadangan Mereka Bentuk dan Membina Laluan Ekspres KL-Kuala Selangor.

Pakej 1 melibatkan laluan Assam Jawa ke Kundang dan Pakej 2 Kundang ke Taman Rimba Templer, dianugerahkan oleh Bina Puri melalui syarikat sekutunya KL-Kuala Selangor Expressway Bhd.

Bina Puri berkata, projek pembinaan jalan yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan, diramal menjimatkan masa perjalanan daripada dua jam kepada 45 minit melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor.

Berdasarkan peningkatan senarai tempahan kepada RM2 bilion tahun lalu berbanding 1.6 bilion tahun 2006, Bina Puri yakin mencatatkan pertumbuhan yang kompetitif pada tahun ini.