Bina Puri yakin KLS Expressway siap 2011
Date: 03 February 2009

BINA Puri Holdings Bhd yakin kerja pembinaan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLS Expressway) yang bernilai hampir RM1 bilion dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada separuh pertama 2011. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamed Fiesal Ibrahim, berkata projek itu yang sebelum ini tertangguh pelaksanaannya sejak 2005, bakal disiapkan dalam tempoh 30 bulan daripada tarikh pembinaannya yang bermula 28 Oktober tahun lalu.

Katanya, apabila siap sepenuhnya, KLS Expressway mampu menjimatkan masa perjalanan daripada dua jam kepada kira-kira 45 minit bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor.

Bagi mempercepat serta meningkatkan lagi kualiti pembinaan KL Expressway, beliau berkata, KLS Expressway pada Jun tahun lalu telah menganugerahkan kontrak pembinaan lebuh raya itu kepada Mudajaya Corporation Bhd (KJC), anak syarikat Mudajaya Group.

"Kontrak yang membabitkan cadangan reka bentuk dan pembinaan KLS Expressway itu merangkumi Pakej 1 iaitu dari Assam Jawa ke Kundang dan Pakej 2 iaitu dari Kundang ke Taman Rimba Templer.

"Dengan penganugerahan kontrak kepada Mudajaya, kami percaya ia akan dibangunkan dengan cepat, berkualiti dan akan disiapkan dalam waktu ditetapkan," katanya kepada Berita Harian menerusi temubual, baru-baru ini.

Mohamed menambah, apabila siap kelak KLS Expressway, turut memanfaatkan penduduk setempat dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan seperti restoran di hentian rehat serta kerja penyelenggaraan lebuh raya, khususnya di daerah Kuala Selangor dan Gombak.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu juga bakal meningkatkan nilai hartanah di sekitar kawasan berdekatan.

Katanya, pembinaan lebuh raya terbabit adalah sebahagian perancangan kerajaan bagi pembinaan Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (Klorr) dengan membabitkan kawasan dari utara Templer Park ke bandar Assam Jawa di daerah Kuala Selangor.

"Apabila KLS Expressway ini siap kelak, ia dapat menyediakan kemudahan pengangkutan dan perhubungan terbaik antara kawasan itu serta sekitarnya," katanya.

Bagi memudahkan perjalanan projek, Bina Puri, menerusi KL-Kuala Selangor Expressway Bhd (KLSE), pemegang konsesi KLS Expressway, memuktamadkan semua dokumen pinjaman dengan dua bank tempatan bernilai RM1.4 bilion, awal minggu lalu.

Dokumen perjanjian pinjaman pertama membabitkan pembiayaan daripada Bank Pembangunan Malaysia Bhd untuk kemudahan pembiayaan bernilai RM740 juta, manakala yang kedua menerusi Bank Pembangunan Islam bagi kemudahan Istisna wa Ijaara RM300 juta.